Pengenalan GMS

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah rahmat-Nya yang sentiasa menaungi umat manusia. Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) merupakan organisasi mahasiswa yang akan bertindak secara vokal dalam menyuarakan tuntutan hak asasi dan keadilan untuk mahasiswa sejagat. Namun begitu suka untuk diperjelaskan bahawa eksistensi GMS adalah bermatlamatkan perjuangan untuk menurunkan harga yuran KUIS yang membebankan. Oleh itu perkara ini menjawab persoalan ramai pihak yang mempertikai kehadiran GMS sebagai organisasi yang tidak bermatlamat dan berperancangan.


Susun atur gerak kerja GMS telah menelan beberapa ‘purnama’ sehinggalah menghampiri kemuncak pada jumaat yang lalu. Walaupun begitu himpunan aman tersebut bukanlah titik penyudah bagi perjuangan GMS yang akan terus berpencak sehinggalah matlamat harga yuran diturunkan tercapai. Kewujudan GMS adalah berdasarkan kesedaran yang memuncak untuk membela sahabat mahasiswa yang sedang dihimpit tekanan akibat kekangan harga yuran yang tinggi. Adalah diluar kemampuan GMS yang juga manusia biasa untuk hanya berpeluk tubuh melihat penderitaan saudara se-kampus menahan lapar sehingga memudaratkan diri dan pengajian.


GMS bangkit dengan minda optimistik untuk merobah penderitaan kepada pembelaan. Walaupun banyak pandangan yang bersifat kontra dengan cara perjuangan GMS, namun kehadiran ribuan mahasiswa dalam himpunan memorandum yang lalu amat bermakna dalam memberi suntikan semangat kepada GMS untuk meneruskan momentum perubahan. Selaras dengan slogan Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa, GMS akan terus menggerakkan kuasa mahasiswa dalam menuntut pembelaan sehinggalah harga yuran diturunkan.


“Jika rakyat sedar kuasa yang dimiliki mereka,

lantas mereka akan memerintah”

Surat terbuka Pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) merangkap Presiden PMIUM

Surat terbuka Pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) merangkap Presiden PMIUM


Assalaamualaikum W.B.T…


Salam ukhwah saya ucapkan buat seluruh mahasiswa & warga Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Semoga kalian terus meraih rahmat Allah dengan usaha & jihad yang tidak putus-putus dalam mendalami ilmu, berpatisipasi dalam aktivisme mahasiswa & mengendong beban dakwah sebagai sebuah entiti mahasiswa Islam. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menggabungkan front-front mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) & Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) merakamkan penghargaan di atas tindakan kalian yang berani untuk bersuara dengan kesedaran yang tinggi berpaksikan kepada kesusahan yang kalian alami.

Pada tanggal 6 November yang lalu, kalian telah memaknakan kembali gerakan mahasiswa yang selama ini dipandang sepi. Kalian telah menunjukkan bahawa mahasiswa Islam di KUIS masih lagi mempunyai akal untuk menilai & membuat keputusan perkara yang mana baik & perkara yang mana salah. Dan yang paling utama, kalian masih lagi mempunyai keberanian untuk memperjuangkan yang hak & menolak segala bentuk penindasan, kezaliman yang ditimpakan ke atas kalian oleh individu-individu yang memandang keuntungan dalam mengendalikan institusi Islam ini, jauh melebihi nilai moral & belas kasihan.

Saya cukup yakin, demonstrasi yang telah kalian gerakkan tempoh hari bukanlah suatu bentuk tindakan yang membabi-buta. Pastinya ia telah dimulakan dengan perbincangan-perbincangan yang akhirnya telah menemui jalan buntu di peringkat Gabungan Mahasiswa Sedar (GMS) dalam membela kebajikan seluruh warga mahasiswa di KUIS. Malangnya saya berasa sedih apabila Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS, Sdr. Nasrul Izad Bin Isa dalam suatu kenyataan akhbarnya telah membuat kenyataan bahawa “beliau menegaskan bahawa MPM tidak terbabit dengan tuntutan & penyerahan memorandum itu”. Pada saya, inilah kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab oleh seorang pemimpin mahasiswa yang telah diberikan amanah & tanggungjawab. Maafkan saya teman-teman, dalam hal ini saya terpaksa mengecam tindakan Presiden MPM KUIS tersebut kerana membelakangi prioriti beliau yang sepatutnya dilihat vokal dalam menyuarakan suara & membela hak kalian. Beliau seharusnya malu dengan pengkhianatan amanah yang telah beliau lakukan itu.

Dan saya bertambah sedih apabila ada suara-suara di pihak atasan kalian yang mengugut serta giat melaksanakan roadshow di seluruh kampus untuk memburuk-burukkan GMS & kalian sendiri. Ternyata ianya merupakan suatu tindakan yang zalim & langsung tidak pernah memikirkan soal belas kasihan kepada kalian. Saya pelik, benar-benar pelik. Dalam keadaan kalian yang cukup susah untuk survive dalam usaha menuntut ilmu-ilmu Allah, tergamak lagi mereka meletakkan kesalahan di bahu kalian yang terang-terangan hanya menuntut keadilan & pembelaan sewajarnya dari mereka yang selama ini kalian pandang ibarat ‘ibu & ayah’? Mereka mencaci, menghina, bahkan merendah-rendahkan martabat kalian dengan fitnah yang melampau-lampau hanya semata-mata tindakan benar yang telah kalian lakukan.

Mereka berhujah dengan mengatakan reputasi KUIS telah jatuh dengan tindakan kalian. Bukan, reputasi KUIS tidak pernah jatuh dengan tindakan kalian. Bahkan kalian dipandang tinggi kerana tidak membenarkan diri kalian diperkotak-katikkan oleh mereka. Akan tetapi, reputasi KUIS telah lama jatuh di mata ibu & ayah di kampung-kampung sebaik sahaja mereka tahu yang anak mereka dikenakan yuran yang melampau sehingga membakikan wang perbelanjaan anak-anak mereka hanya RM100 untuk satu semester. Reputasi KUIS telah lama jatuh sebaik masyarakat luar tahu ada kalangan mahasiswa KUIS yang terpaksa tangguh pengajian kerana tidak mampu menanggung yuran yang mencekik itu. Dan reputasi KUIS telah lama jatuh sebaik orang luar tahu ada mahasiswa KUIS yang tidak makan kerana memang benar-benar tidak mempunyai wang untuk perbelanjaan.

Saya sejujurnya tidak pasti, adakah mereka kecewa kerana tidak berjaya memaksa kalian mendengar cakap mereka? Atau adakah mereka kecewa kerana tidak dapat lagi melihat kalian terus membuat parttime job seperti basuh pinggan di kantin-kantin & mengambil upah mop lantai untuk membersihkan kafe-kafe hanya semata-mata untuk menanggung perbelanjaan pengajian yang setinggi bukit itu? Atau juga adakah mereka kecewa kerana tidak dapat lagi melihat airmata kalian yang mengalir tatkala menahan perut yang lapar di waktu malam ketika mana tidak mampu untuk membeli stok maggi yang kehabisan? Atau mungkinkah mereka berasa kecewa kerana tiada lagi ibu & ayah yang merayu-rayu dari kampung untuk melihat anak mereka kembali belajar selepas terpaksa tangguh semester kerana tidak cukup wang untuk membayar yuran dan lain-lain?

Amatlah malang sebenarnya keadaan ini berlaku di sebuah institusi pengajian Islam yang sewajarnya meletakkan nilai-nilai Islam melebihi kepentingan peribadi & nilai kesenangan duniawi. Dan mahasiswa Islam yang dididik dengan nilai al-adalah yang merupakan kemuncak dalam maqasid syar’iyyah sewajarnya tidak tunduk dengan keangkuhan & kezaliman yang seumpama ini. Di bahu kalian telah terpikul suatu tanggungjawab besar untuk membela hak kalian yang telah dirobek-robek. Percayalah! Keperitan ini tidak akan surut seandainya kalian mengundur kembali ke belakang.

Ayuhlah teman! Kejapkan langkah juangmu untuk melawan arus penindasan ini. Jangan kembali menoleh ke belakang. Kalian telah disedarkan & jangan kembali lelap! Kerana lelapnya kalian dalam perjuangan ini hanya akan menambahkan lagi keangkuhan mereka yang sama sekali tidak pernah merasa belas dengan kalian… Wallahua’lam.

Yang menyokong kalian,

_________________________
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Pengerusi,
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Saturday, November 21, 2009

Blog gerakan Mahasiswa Sedar(GMS) ditiru

Blog gerakan Mahasiswa Sedar(GMS) ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawap dengan mengunakan alamat yang hampir sama bagi mengelirukan orang ramai.Mereka menggunakan header yang dicopy dari blog asal GMS.Yang membezakan blog ialah logo rasmi GMS warna latar yang berbeza.

Peringatan untuk semua sahabat blog http://gmskuis.blogspot.com telah di ceroboh dan kata kunci telah ditukar menyebabkan pihak GMS kuis sudah tidak mempunyai akses untuk update blog tersebut. Segala posting di blog tersebut bukan mewakili Gerakan Mahasiswa KUIS.

Sebagai tindakan segera pihak GMS telah mewujudkan blog baru iaitu
http://gmskuis-info.blogspot.com

Semoga perjuangan DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA mendapat dokongan semua pihak. Salam Perjuangan Salam Mahasiswa

No comments:

Post a Comment